Iklan jawatan kosong – untuk semua insan

Written by admin

Temuduga Sebagai : Calon Jenazah

jenazah

SEMUA AKAN DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN

KEKOSONGAN JAWATAN:
A.. Ahli Syurga Dari Awal.
B. Ahli Neraka Dari Awal..
C. Ahli Neraka Sementara Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur….
2. Perlindungan di Padang Mahsyar..
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.

TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.

LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).

KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil,termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat , Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal iaitu :
Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.

PANEL/PENEMUDUGA:
Mungkar dan Nakir.

ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?

CARA MEMOHON:
Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.

Ia diberi nama Izrail.

TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:
Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hanbal, yang bermaksud begini:

Sabda Rasulullah S.A.W:
“Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan disebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekahjariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.” Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk.. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah kesebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk.

Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk. Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang.. Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepada nya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah! Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya’Allah… Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya…. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya”.

credited to: ASLINDA NURZIATY

Apr
21

Melayu dan krisis Nilai

Written by admin

Saya selalu mendengar ucapan-ucapan para politikus tentang betapa berbudi bahasanya manusia Melayu ini. Saya juga ada membaca dalam kitab dan buku-buku lama tentang nilai nilai indah manusia Melayu. Malah ada si polan dan si polan yang tanpa segan silu dan tanpa selidik yang dalam telah berani mengakui bahawa manusia Melayu – satu satunya manusia di dunia ini yang besopan santun dan berbudi bahasa.

Memang betul – ada kebenaran kenyataan ini. Manusia Melayu lima puluh tahun dahulu bersopan santun dan berbudi bahasa. Memang betul manusia Melayu tiga puluh tahun dahulu memiliki nilai kemanusiaan yang kukuh. Tetapi hari ini semuanya telah berubah dan bertukar. Sadikit demi sadikit nilai budi bahasa sopan santun manusia Melayu itu telah berubah.

Perubahan ini muncul kerana asas sistem ekonomi manusia Melayu itu berubah. Dari masyarakat feudal yang berasaskan ekonomi pertanian manusia Melayu telah memasuki ke alam ekonomi kapitalis. Perubahan ini tidak dapat tidak telah juga mengubah pembudayaan manusia Melayu itu sendiri.

Satu ketika dahulu kenduri nikah kahwin adalah kerja bergotong royong untuk sanak saudara dan jiran sekampong – kini semuanya dijalankan oleh kontrektor. Tenaga dan masa yang satu ketika dahulu melimpah ruah dan diberikan secara percuma kini – masa dan tenaga – telah di ukur dengan nilai wang ringgit. Justeru kita tidak akan hairan kadangkala upacara keagamaan juga memerlukan perbayaran. Iman dan Tok Kadi kini perlu dibayar untuk doa dan kehadiran mereka. Tiga puluh tahun dahulu mustahil pekara ini berlaku.

Peralihan dari sistem ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini telah didatangkan dengan mendadak. Peralihan ini bukan satu evolusi – sadikit demi sedikit. Ianya adalah sebahagian dari nilai budaya Dasar Ekonomi Baru yang diajukan oleh kerajaan United Malays National Organisation bermula dari tahun 1970. Dalam masa tiga puluh tahun manusia Melayu kampong berubah untuk menjadi manusia Melayu bandar. Dari suasana kampong yang aman permai manusia Melayu telah di lambakkan ke dalam kota dan pekan yang hiruk piruk dan penuh dengan persaiangan.

Peralihan dari ekonomi semi feudal ke semi kapitalis ini adalah perjalanan sejarah ekonomi kapitalis. Ini adalah hukum perjalanan ekonomi kapitalis yang beralih dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain. Ini bukan menghairankan. Apa yang menjadi masaalah disini ialah proses peralihan ini datang mendadak kepada manusia Melayu. Dalam masa satu jenerasi – tiga puluh tahun – kaum tani Melayu telah berubah dari bercucuk tanam untuk menyara hidup kepada penjual tenaga untuk membeli makanan.

Ekonomi wang ringgit yang dipekenalkan oleh sistem kapitalis ini telah membawa nilai-nilai baru. Manusia Melayu kini berhadapan dengan gelombangan pasang surut ekonomi kapitalis dunia. Manusia Melayu tidak lagi tinggal bersendirian dalam tempurong suasana kampong yang aman permai.

Perubahan mendadak ini telah melahirkan kekacauan budaya. Ianya juga melahirkan kekacauan nilai. Ianya juga melahirkan kekacauan jati diri. Ketiga-tiga kekacauan ini sedang berlaku sekarang ini. Semua manifestasi dari kekacauan ini dapat kita lihat. Setiap hari jika kita memberi perhatian yang rapi maka apa yang kita baca dari akhbar atau ada yang kita dengar dari radio atau lihat dikaca tv – adalah manifestasi dari kekacauan ini. Apa yang dipanggil masaalah sosial itu sebenarnya adalah manifestasi kekacaun nilai manusia Melayu.

Ekonomi kapitalis ini telah menobatkan hak individu lebih tinggi nilainya dari hak orang ramai. Hak individu lebih dihormati dari hak kelompok. Ekonomi kapitalis ini telah membuat ukuran dan rujukan bahawa kesempurnaan hidup dan kejayaan hidup akan dinilai dengan jumlah harta benda yang dimiliki. Susuk tanpa pemilikan akan di cap sebagai susuk yang gagal.

Kerana ini kita lihat manusia Melayu ketika ini dalam keadaan bagitu kacau sekali. Jiwa dan hati nuraninya sedang dirobek-robek oleh keadaan sekeliling. Zaman hidup aman damai tanpa penggunaan wang ringgit yang banyak masih lagi dalam ingatan. Nilai kampong yang penuh dengan berbudi bahasa kini dalam peralihan. Nilai ini sedang bertembung dengan nilai ringgit dan dinar.

Hasil pertembungan ini, sadikit demi sadikit nilai budi murni manusia Melayu terhakis. Sadikit demi sedikit nilai kejujuran yang dimiliki oleh manusia kampong lupus. Kuasa ringgit dan dinar cukup ampoh. Kuasa ringgit dan dolar telah dapat menengelamkan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh manusia Melayu. Nilai ini mewajibkan manusia Melayu berlumba dan bersaing. Manusia Melayu diwajibkan untuk merebut peluang ekonomi duit ringgit kalau tidak mereka akan dilihat gagal.

Selama lebih dua puluh tahun ini , proses pembudayaan manusia Melayu cukup kacau bilau. Dasar siasah dan ekonomi yang diajukan oleh United Malays National Organistation ini adalah dasar kapitalisma – pasaran terbuka. Kekacauan nilai manusia Melayu ini bertambah parah apabila dalam hal pembudayaan United Malays National Organisation telah memperkukuhkan teras kefeudalan Melayu lama. Simbol dan upucara feudal diperkukuh dikalangan masyarakat Melayu.Ini bertujuan untuk memastikan manusia Melayu tidak akan melarikan diri dari jaringan perangkap politik United Malays National Organisation.

Dari satu segi manusia Melayu diajak masuk ke dalam budaya ekonomi kapitalis pasaran bebas. Dalam satu segi yang lain mereka diperlukan taat setia kepada United Malays National Organisation sebagai payung feudal untuk manusia Melayu berteduh. Kecelaruan ini melahirkan kesakitan yang amat sangat.

Justeru hari ini kita melihat adanya Melayu yang ingin menjadi Arab. Ini adalah jalan senang untuk tafsiran jati diri kemelayuan mereka. Mengikut takrifan mereka menjadi Arab/Melayu/Islam ini adalah benteng pertahanan jati diri dari serangan kapitalis global. Dalam masa yang sama kita melihat Melayu yang gaya hidupnya cukup kosmopolitan yang bebas dari ciri-ciri nilai Melayu tradisional.

Hakikatnya nilai majoriti manusia Melayu hari ini amat kacau. Kejujuran, budi bahasa and tulus ikhlas semakin berkurangan. Ampu bodek dan bermuka muka menjadi budaya harian. Kalau dahulu : Kata akan di kota sebagai pegangan budaya Melayu. Kini kata wajib disadur dengan ringgit dan dolar. Semua ini adalah nilai-nilai yang dilahirkan oleh budaya sistem ekonomi kapitalis.

Pada awal tahun 2010 ini krisis nilai manusia Melayu telah sampai ke satu kemuncak persimpangan. Manusia Melayu di Malaysia pada thun 2010 ini sedang di uji sama ada dalam roh kemelayuan mereka ada atau tidak lagi tersimpan nilai-nilai kejujuran. Apakah manusia Melayu boleh bercakap benar. Apakah manusia Melayu itu akan tahu apa yang hak dan apa yang batil.

Ujian yang saya maksudkan ini ialah ujian yang didatangkan oleh kes Anwar Ibrahim. Kes Anwar Ibrahim yang ke dua ini akan menguji manusia Melayu dengan nilai-nilai kemelayuan mereka hingga ke akar umbi. Saya takrifkan sebagai ujian kerana apabila kes ini dibuka di mahkamah nanti maka seluruh warga Malaysia dapat membaca dan menilai apa sebenaranya disebalik pembicaraan kes Anwar Ibrahim ini.

Manusia Melayu akan diuji sama ada mereka berani berkata benar apabila melihat fakta yang terpampang di hadapan mata mereka. Atau mereka memileh untuk menjadi manusia yang tidak jujur untuk terus menipu diri sendiri kerana kepentingan ekonomi.

Ujian yang akan sampai ini adalah ujian terahir untuk tamadun Melayu. Ujian ini adalah ujian nilai tentang harga budaya bangsa, jati diri bangsa dan masa hadapan tamadun negara bangsa. Di kemuncak persimpangan ini semua manusia Melayu – tua dan muda – wajib melihat dan menilai diri mereka sendiri

Diakhir ujian ini jiwa halus manusia Melayu akan bertanya sendiri apakah maksud kata-kata ini : Bercakap benar didalam sebuah negara yang penuh dengan kezaliman dan penindasan ialah satu jihad. Bercakap benar dalam sebuah negara kuku besi adalah langkah revolusi. (TT)

nota: bebas untuk diciplak jika membuat kebaikkan

Mar
24